Impak negatif Rasuah

Demokrasi

Rasuah ialah musuh pembangunan. Dalam dunia politik, rasuah menjejaskan perjalanan demokrasi dan pentadbiran yang cekap apabila formaliti diabaikan. Rasuah dalam pilihan raya atau pemilihan umum lain dan dalam badan perundangan/legislatif merosakkan akauntibiliti dan kecekapan juga; rasuah dalam sistem pengadilan pula mencabul ketertinggian undang-undang; dan rasuah dalam pentadbiran awam menjejaskan keseimbangan dan kesaksamaan sosial. Secara umum, rasuah mengikis kemampuan sesuatu sistem; kerana ketidaktertiban prosedur, kemerosotan sumber daya/usaha, dan pejabat diiktiraf/dinaikkan oleh jabatan bukan kerana prestasi. Keseluruhannya, rasuah menghancurkan kepercayaan masyarakat terhadap sistem-sistem yang ada.

Ekonomi

Rasuah mempersulit kemajuan ekonomi apabila kecekapan menurun selain mengubahsuaikan sistem yang selama ini diterima pakai dan efektif. Dalam sektor swasta, perbelanjaan akan meningkat kerana wujudnya perbelanjaan "di luar akaun", belanja perundingan dengan pejabat/jabatan yang korup (duit kopi?), dan serta risiko pembatalan projek/konsesi. Walaupun ada yang menyatakan bahawa rasuah mengurangkan kos kerana birokrasi berjaya "dicairkan", penyelidikan terbaru mendapati hal demikian tidak berlaku, sebaliknya lebih tinggi lagi kosnya kerana pejabat/jabatan korup tersebut akan membuat lebih banyak peraturan dan hambatan yang baru. Rasuah juga menjejaskan persaingan dalam perniagaan dan pasaran seluruhnya apabila syarikat tertentu yang mempunyai "hubungan" dilindungi daripada persaingan, lantas melahirkan syarikat/industri yang tidak berdaya maju.

Rasuah menimbulkan kekacauan dalam sektor awam apabila perbelanjaan awam untuk projek-projek kemasyarakatan yang sememangnya banyak, naik mendadak kosnya, sehingga melepasi peruntukan awal. Pejabat/jabatan awam (mungkin juga kontraktor) mungkin "mengubahsuai" projek tersebut (selepas menerima peruntukan daripada peringkat kerajaan yang lebih tinggi, misalnya), walaupun sebenarnya tidak diperlukan, sebagai usaha menyorokkan rasuah yang berlaku. Kemudiannya, keselamatan, keselesaan, dan kesan alam sekitar projek tersebut menjadi pertaruhan . Rasuah juga menjejaskan kualiti perkhidmatan sektor awam dan infrastruktur yang dirancangkannya, sekali gus mengenakan tekanan yang hebat kepada belanjawan/bajet kerajaan.

Para pakar ekonomi berpendapat, antara punca ekonomi beberapa buah negara Asia dan Afrika berkembang lemah, terutama di Afrika, ialah rasuah yang berbentuk "penagihan sewa" yang menyebabkan perpindahan penanaman modal ke luar negara, bukannya dilaburkan di dalam negara (yang sering kali disebut orang betapa ramai diktator Afrika mempunyai akaun bank di Swiss). Berbeza pula dengan diktator di Asia, seperti Suharto yang sering meminta sogokan (daripada setiap biaya atau keuntungan projek), namun lebih memberikan perhatian dalam pelaburan dalaman, seperti dalam projek prasarana, kewangan, perbankan, dan lain-lain (yang bermanfaat kepada rakyat jelata Indonesia). Pakar daripada Universiti Massachussetts memperkirakan, dari tahun 1970 hingga 1996, "perlarian" modal 30 buah negara Sub-Sahara berjumlah sekitar US $187 bilion (RM710.6 bilion); melebihi jumlah hutang luar negara-negara tersebut! (Hasilnya, Mancur Olson mengutarakan model ekonomi tentang pembantutan pembangunan). Dalam kes Afrika lagi, antara punca lain termasuklah ketidakstabilan politik; dan kerap kali kerajaan baru yang berjaya menggulingkan pemerintah lama, merampas segala harta kerajaan terdahulu yang diperoleh daripada rasuah. Mereka kemudiannya akan melakukan perkara yang sama, tanpa henti, dan menyimpan hasilnya di seberang laut untuk persiapan "masa-masa sukar"

Kesejahteraan negara

"Rasuah politik" berlaku di banyak negara dan mengancam jutaan manusia. Rasuah politik bererti "kebijaksanaan" pemerintah/kerajaan memberikan pelbagai faedah istimewa kepada penyogok, jauh sekali demi kesejahteraan rakyat terbanyak. Dari satu sudut yang lain, para politikus memainkan peranan melindungi syarikat/perusahaan tertentu (lazimnya entiti yang besar), yang sebenarnya cuba menguburkan perusahaan yang lebih kecil yang baru bertatih. Mereka memang pintar: melindungi syarikat yang telah menaja kempen-kempen politiknya sahaja.